Tuesday, August 13, 2019

PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA & JAWATANKUASA PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC)

PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA

 Proses perbincangan dan perundingan kearah pembentukan Malaysia ini sebenarnya sangat panjang dan kompleks. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan. Beberapa tindakan juga perlu diambil bagi memastikan pembentukanini memuaskan hati semua pihak.


JAWATANKUASA PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC) 

   Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut. 
Penerangan ini didapati telah mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan, sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. Namun, perwakilan Brunei menganggap diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Bruneimenyertai gabungan. 
Secara amnya, jawatankuasa ini berfungsi untuk menerangkan dengan lebih jelas akan konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul dan membandingkan idea-idea serta pendapat yang dikemukakan berhubung Malaysia. Keterangan-keterangan dan perbincangan akan dilaksanakan dengan lebih giat untuk menyegerakan rancangan pembentukan Malaysia ini. Selain itu, jawatankuasa juga seboleh mungkin berusaha mendapatkan kata sepakat daripada pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit. Semenjak  pembentukan jawatankuasa ini, mereka telah mengadakan perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962. 
Dalam perjumpaan-perjumpaan jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan, ramai tokoh dari Tanah Melayu dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri, Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang sangat penting. Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak telah mendatangkan hasil yang baik. 
  

Sunday, August 11, 2019

FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA

FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA

  • Perkongsian Faedah Ekonomi
 Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan.  Negara-negara anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi.  Ini bermaksud Sabah dan Sarawak yang belum maju dari segi ekonomi akan dibantu oleh Tanah Melayu, Singapura dan Brunei.

  • Menjaga Hak Kepentingan Kaum Bumiputera
Pembentukan persekutuan yang terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan      Singapura adalah untuk menjaga kepentingan dan kedudukan kaum Bumiputera.  Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah Borneo kerana percantuman di antara Tanah Melayu dengan Singapura sahaja akan menghilangkah majoriti penduduk Melayu.  Ini kerana singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila dicantumkan ini akan menghlangkan majoriti penduduk Melayu.
Apabila pencantuman berlaku antara Tanah Melayu dan Singapura sahaja, bilangan masyarakat Cina akan menjadi 43.5%, sementara orang Melayu menjadi 43%. Ini kerana anggaran penduduk Tanah Melayu pada tahun 1960, orang Melayu kira-kira 50% dan orang Cina 36.9%. Justeru, apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bilangan kaum Bumiputera termasuk Melayu akan menjadi 46.3%, sementara orang Cina menjadi 42.4%. Ini bermaksud untuk menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera tidak terancam, kemasukkan Sabah dan Sarawak membolehkan kumpulan Melayu dan Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.

  • Mengelakkan Ancaman Dan Pengaruh Komunis.

Pengaruh komunis yang semakin meluas di Asia Tenggara, terutama Singapura membimbangkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengaruh komunis mula menyusup masuk ke dalam parti yang memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Kegiatan dan pengaruh komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong. Kekalahan calon PAP dalam dua pilihanraya kecil.
Pada tahun 1961 bagi kawasan Hong Lim dan Anson memperlihatkan pengaruh komunis semakin merebak di Singapura. Perkembangan ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kerana beliau khuatir Singapura akan dikuasai oleh pihak komunis dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu. Oleh itu, Tunku berpendapat penubuhan Malaysia akan dapat menyekat pengaruh komunis daripada merebak di Singapura.



Friday, August 9, 2019

PENENTANGAN GAGASAN MALAYSIA

PENENTANGAN GAGASAN MALAYSIA

1. Filipina 

      Apabila JPPM dan Suruhanjaya Cobbold menunjukkan sokongan kepada penubuhan Malaysia, Filipina telah menuntut hak ke atas Sabah bagi waris Sultan Sulu pada 22 Jun 1962. Filipina mendakwa Sabah dipajak dan bukan diserahkan kepada Baron Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1874. Pajakan ini telah dibatalkan pada tahun 1958. Kerajaan British enggan mengakui kedaulatan Filipina ke atas Sabah. Kerajaan Filipina juga mengemukakan tuntutan yang sama kepada Tanah Melayu tetapi ditolak. Hubungan diplomatik Filipina-Tanah Melayu menjadi genting. Walau bagaimanapun, usaha-usaha dijalankan untuk menyelesaikan persengketaan. Akhirnya, Filipina juga mengiktiraf Persekutuan Malaysia pada Jun 1966.

2. Indonesia

         Pada mulanya, Indonesia mengalu-alukan pembentukan Malaysia. Namun, PKI di bawah D.N. Aidit menyifatkan ia merupakan satu penjajahan baru yang mengancam Indonesia. Setelah tercetusnya pemberontakan Brunei, Presiden Indonesia, Sukarno menerima tekanan hebat dari PKI dan mengubah sikap serta menentang gagasan Malaysia. Aidit telah melawat ke Tanah Melayu dan menghasut rakyat dan tentera memberontak. Hubungan Tanah Melayu dengan Indonesia menjadi renggang. Pada 20 Januari 1963, Dr. Subandrio mengumumkan dasar konfrontasi terhadap gagasan Malaysia. Kemudian, Indonesia bersetuju meminta Suruhanjaya PBB bagi meninjau semula pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia. Laporan PBB menunjukkan rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia tetapi Indonesia enggan mengakui.

16 September 1963, Malaysia diisytiharkan secara rasminya. Pada hari ini, Indonesia melancarkan konfrontasi dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Tanah Melayu. Sebab Indonesia melancarkan konfrontasi ialah:


  • Tekanan PKI ke atas Kerajaan Indonesia.
  • Penubuhan Malaysia menghalang cita-cita Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya yang termasuk Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.
  • Sukarno merasa tersinggung kerana tidak diajak berunding mengenai penubuhan Malaysia.
  • Dato' Dr. Ismail Abdul Rahman telah meminta bantuan dari PBB dan membuat bantahan mengenai serangan Indonesia.
  • Pasukan pertahanan tempatan atau askar wataniah ditubuhkan.
  • Britain memberi bantuan tentera.
  • Australia, New Zealand, Canada memberi bantuan senjata.
  • Rundingan sulit dengan pegawai Indonesia bukan komunis diadakan.
  • Dato' Abdul Razak melawat ke negara Afro-Asia dan Dunia Ketiga untuk mengikis propaganda Indonesia yang memburuk-burukkan nama Malaysia.


Pada bulan November 1963, serangan gerila dilancarkan. Tentera Indonesia mendarat di Pontian, Labis, Muar dan Kota Tinggi. Pengintip-pengintip juga dihantar. Akibatnya:


Pada 30 September 1965, gerakan komunis untuk merampas kuasa gagal. Konfrontasi menjadi berkurangan. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik berusaha menamatkan konfrontasi dan mewujudkan persefahaman dengan Malaysia. Hasrat menamatkan konfrontasi wujud apabila Suharto menggantukan Sukarno. Hasilnya, perjanjian damai ditandatangani di Jakarta pada 11 Ogos 1966 selepas Tun Abdul Razak berunding dengan Adam Malik di Bangkok.


Thursday, August 8, 2019

PENDAHULUAN PEMBENTUKAN MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963

PEMBENTUKAN MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963


PENDAHULUAN



   Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan British supaya Brunei, Sabah dan Sarawak digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia. Namun, Kerajaan British menolak cadangan itu kerana Singapura diketepikan. Sementara itu, Lee Kuan Yew, Ketua Menteri Singapura pada masa itu juga menyarankan percantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu. Cadangan Lee Kuan Yew ditolak oleh Tunku Abdul Rahman. Namun begitu, senario politik yang berlaku di Singapura mengubah sikapnya terhadap saranan Lee Kuan Yew.

Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura mencadangkan supaya Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura digabungkan dengan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi. Pada 23 Julai 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan. JPPM memberi peluang kepada pemimpin di Sabah dan Sarawak untuk mengemukakan pandangan memandangkan mereka masih menentang gagasan.

Akhirnya Sabah dan Sarawak menerima gagasan ini dan menyusun satu memorandun untuk dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya ini kemudian menjalankan tugasnya iaitu meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak dan membuat syor perlembagaan baru. Kemudian pada Ogos 1962, Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia. JAK mengeluarkan laporannya pada 27 Februari 1963. Laporan ini diterima dan diluluskan. Berdasarkan laporan ini, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai1963. Pada 16 September 1963, Malaysia diisytiharkan.

PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA

1. Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM)

       JPPM ditubuhkan pada 23 Julai 1961. Ia dipengerusikan oleh Donald Stephen (anggota Majlis Undangan Sabah). Anggotanya ialah Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu), Lee Kuan Yew (Singapura), Dato' Mustapha Dato' Harun (Sabah), Temenggung Jugah Anak Berieng (Sarawak) dan Dato' Setia Pangeran Ali (Brunei). Tujuan JPPM ialah:
  • Mengumpulkan sambutan mereka terhadap Malaysia.
  • Menyediakan memorandum mengenai cara pembentukan Malaysia.
  • Memberitahu orang ramai mengenai Malaysia.

JPPM telah memberi peluang kepada pemimpin Sabah dan Sarawak mengemukakan pandangan mengenai gagasan Malaysia. JPPM telah mengadakan 4 mesyuarat di Kota Kinabalu (21 Ogos 1961), Kuching (18 Disember 1961), Kuala Lumpur (6 Januari 1962) dan Singapura (1 Februari 1962). Hasil daripada rundingan yang dijalankan. Sarawak mengeluarkan kertas putih mengenai Malaysia pada 4 Januari 1962 dan Sabah pada 31 Januari 1962. Kemudian, satu memorandum disusun semula dan dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold pada 23 Februari 1962. Kandungan memorandum ini ialah:



  • Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas perlembagaan Malaysia.
  • Kerajaan Persekutuan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan.
  • Islam adalah agama rasmi tetapi rakyat bebas beragama.
  • Bahasa Melayu merupakan  bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain masih boleh digunakan.
  • Hak istimewa seperti orang Melayu diberi kepada rakyat pribumi Sabah dan Sarawak.
  • Sabah, Sarawak berhak mengawal imigrasennya sendiri.
  • Perwakilan Parlimen berasaskan jumlah penduduk dan jumlah luas kawasan.
Memorandum ini disokong oleh rakyat Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu.

2. Suruhanjaya Cobbold

       Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada Januari 1962. Ia dipengerusikan oleh Lord Cobbold (bekas Gabenor Bank of England). Ahli-ahlinya terdiri daripada Sir Anthony Abel dan Sir David Watherston iaitu wakil British dan Muhammad Ghazalie Shafie dan Dato' Wong Pow Nee iaitu wakil Tanah Melayu. Tugas utama suruhanjaya ini ialah:
  • Meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia.
  • Membuat syor-syor perlembagaan.

Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya dari 19 Februari sehingga 18 April 1962. Sebanyak 50 perjumpaan dengan 690 kumpulan orang ramai diadakan. Selain itu, 2000 atau lebih memorandum telah diterima. Pada 18 April 1962, laporan disiapkan dan diserahkan kepada Kerajaan Tanah Melayu dan British pada Jun 1962.

Pada 1 Ogos 1962, laporan ini diumumkan mengenai pandangan rakyat Sabah dan Sarawak:

a. 1/3 menyokong kuat Malaysia
b. 1/3 menyokong dengan syarat
c. 1/3 hendak merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia

Dengan itu, suruhanjaya ini turut menyokong gagasan Malaysia dan mengesyorkan Perlembagaan Malaysia seperti dibawah:
  • Nama persekutuan baru ialah Malaysia.
  • Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas Perlembagaan Malaysia.
  • Kedudukan istimewa kaum pribumi Sabah dan Sarawak dijamin.
  • Sabah dan Sarawak berhak memilih Ketua Negeri sendiri.
  • Penduduk pribumi Sabah dan Sarawak dibenarkan berkhidmat dalam perkhidmatan awam secepat mungkin.
  • Dasar pendidikan, ugama, imigresen, perwakilan Parlimen, kedudukan bumiputera, kewangan, kewarganegaraan dan perlembagaan negeri di Sabah dan Sarawak ditentukan oleh Majlis Undangan Negeri masing-masing.
  • Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan. Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi sehingga DUN masing-masing membuat keputusan.
Hampir semua syor diterima oleh British dan diumumkan pada 1 Ogos 1962, Malaysia akan ditubuhkan pada 31 Ogos 1963. Jawatankuasa Antara Kerajaan akan ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia.

3. Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK)

     JAK ditubuhkan pada Ogos 1962 untuk merangka Perlembagaan Malaysia. Pengerusinya ialah Lord Landsdowne dan Timbalan Pengerusinya ialah Tun Abdul Razak. Anggotanya terdiri daripada wakil British, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Wakil Sabah telah mengemukakan memorandum yang mengandungi 20 perkara. Antaranya ialah:

  • Agama Islam – agama rasmi persekutuan. Tiada agama rasmi di Sabah.
  • Bahasa Inggeris – bahasa rasmi Sabah; Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan.
  • Imigresen orang asing Sabah di bawah kuasa negeri Sabah.
  • Sistem pendidikan Sabah dikekalkan.
  • Perwakilan Parlimen harus mengambil kira keluasan kawasan dan bilangan penduduk.

4. Pengisytiharaan Malaysia 
   Berkenaan dengan penubuhan Malaysia, Filipina dan Indonesia menentang kuat. Beberapa rundingan telah diadakan antara kedua-dua negara dengan Tanah Melayu. Akhirnya, MAPHILINDO ditubuhkan. Pemimpin ketiga-tiga negeri bersetuju meminta Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk meninjau kembali pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai penyertaan mereka ke Malaysia. Suruhanjaya PBB yang diketuai oleh Lawrence Michaelmore menjalankan tugasnya dari 16 Ogos – 5 September 1963

Oleh itu, tarikh penubuhan yang ditetapkan terpaksa ditunda. Mengikut laporan PBB, lebih 70% rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia. Maka pada 16 September 1963, penubuhan Malaysia diisytiharkan secara rasminya.


VIDEO PEMBENTUKAN MALAYSIA